Dec 10th, 2011
MARILAH BERMUJAHADAH, JANGAN TUNGGU LAGI!
Setelah kita melakukan muhasabah dan taubat dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan, marilah kita meneruskan proses pembangunan diri kita dengan melakukan mujahadah atau berjihad untuk menundukkan nafsu. Jihad ini lebih dikenali sebagai mujahadah an nafs atau jihadun nafs.
Mujahadah menundukkan nafsu ini adalah perjuangan yang dilakukan untuk membina keistiqamahan hati kita agar kekal di atas jalan yang lurus.
Syeikh Yusuf al-Qaradhawi telah menjelaskan pengertian jihad an nafs ini sebagai:
“mencurahkan segenap usaha dan kemampuan untuk beriltizam terhadap aturan Allah SWT dan meniti jalan-Nya yang lurus. Hal ini mencakupi ketaatan dan peribadatan kepada Allah, menjauhi maksiat, dengan melaksanakan kewajipan terhadap Allah, diri, umat, semua manusia, alam dan semua makhluk”.
Beriltizam dalam ketaatan kepada Allah SWT adalah satu perkara yang sangat berat bagi jiwa manusia dan ramai yang tewas kerana dorongan nafsu sangat kuat mengajak kita untuk menderhakai Allah SWT. Ini ditambah pula dengan adanya ‘pakatan’ antara syaitan dengan nafsu kita. Pakatan inilah yang menjerumuskan majoriti manusia ke dalam Neraka Jahannam.
Sekiranya kita tidak melakukan mujahadah an nafs maka kita membiarkan jiwa kita menuruti kehendak nafsu kita, pasti kita akan semakin hari semakin mendalam pendurhakaan kita terhadap Allah SWT, sama ada pendurhakaan kerana meninggalkan apa yang disuruh oleh Allah SWT atau melakukan apa yang dilarang oleh Allah SWT. Keadaan diri kita akan terus melalui kemerosotan hingga matilah hati kita dan tidak dirasakan perlu lagi untuk berjihad menentang nafsu. Ibnu Qayyim al-Jauziyah menggambarkan keadaan ini sebagai ‘dipenjara dan dirantai oleh nafsu’. Kita telah menjadi ‘hamba kepada nafsu kita sendiri’. Semoga Allah SWT melindungi kita dari keadaan yang membinasakan.
Syeikh al-Qaradhawi juga telah menulis:
“Manusia mesti meninggikan dan menyucikan nafsunya, serta tidak membiarkannya hingga menjadi kotor. Nafsu atau jiwa manusia disiapkan untuk boleh berbuat dosa dan bertaqwa. Nafsu akan naik menuju ketaqwaan dengan melakukan riyadhah (perlatihan), mujahadah (upaya kesungguhan), tazkiyah (penyucian) sebagaimana dinyatakan dalam firman Allah SWT, dalam Surah asy Syams:
“Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada takwa; Sesungguhnya bahagialah orang yang menjadikan dirinya bersih dan bertambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya kotor dan terbenam dalam kekotoran maksiat”
Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bila mana Baginda berpidato, Baginda selalu membaca:
“Kami memohon perlindungan Allah dari kejahatan jiwa kita dan dari maksiat perbuatan kita”
Perkataan di atas menjelaskan bahawa terdapat ‘potensi kejahatan dalam jiwa kita. Petunjuk yang benar hanyasanya datang dari Allah SWT dalam bentuk wahyu, mengukuhkan apa yang Allah bekalkan secara fitrah. Pada masa yang sama kita sebagai manusia perlu sedar bahawa dalam jiwa kita ada potensi kecenderungan kepada kejahatan dan menyimpang dari kebenaran. Ini tidak bermakna jiwa itu sememangnya cenderung kepada kejahatan sahaja tetapi perlu disedari bahawa kecenderungan ini perlu diatasi dengan proses tarbiyah.
Julat realiti jiwa ini adalah sangat luas. Jiwa kita boleh menerima petunjuk dari Allah dan menjadi antara semulia-mulia makhluk dan diredhai Allah SWT. Di masa yang sama seseorang itu mungkin merencatkan potensi-potensi baik dalam jiwanya – termasuk mengenali dan memahami Tauhid – sehingga dia menyuburkan potensi kejahatan dalam jiwanya. Setiap kita perlu menyedari kemungkinan kedua-dua potensi yang bertentangan ini berkembang subur.
Setiap kita mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk menyempitkan perkembangan potensi kejahatan dan di masa yang sama bersungguh-sungguh pula untuk mengembangkan potensi kebaikan dalam jiwa kita. Jiwa juga bersifat mudah berubah-ubah.
Jika seseorang membiarkan ciri-ciri tanahliat atau ciri kebumiannya menguasai serta mengatur hidupnya, maka dia tidak akan merasa bersalah apabila melakukan dosa. Dia tidak berada dalam tahap kesedaran yang membenci kemaksiatan yang dilakukan. Orang sebegini akan membelakangkan petunjuk Allah SWT dan kemungkinan tidak langsung mengingati-Nya.
Dalam membangunkan syakhsiyah mukmin yang benar-benar mentaati dan mencintai Allah SWT kita perlu mengikis dan mengeluarkan segala unsur-unsur ‘fujur’ yang mencemar kejernihan hati dan jiwa kita dan menanam dan mengembangkan unsur-unsur keimanan sehingga kita memiliki ‘qalbun salim’. Kedua-dua aspek ini sangat sukar dilakukan terutama sekali dalam persekitaran yang menyuburkan ‘penyakit’ dan merencatkan ‘kesihatan’, di mana kemaksiatan dan kedurhakaan menjadi industri yang menguntungkan. Kesukaran ini hanya dapat diatasi melalui mujahadah yang ikhlas dan kesungguhan. Kebahagiaan kita di akhirat nanti bergantung kepada kesungguhan kita dalam melakukan mujahadah ini.
Dengan ini lengkaplah kitaran perawatan diri kita yang perlu kita lakukan. Ianya bermula dengan kita membangunkan kesedaran keperluan kita kepada ilmu yang menyelamatkan. Ini diikuti dengan muhasabah yang serius untuk menilai kedudukan diri dalam pertimbangan iman kita. Sama ada kita hamba yang taat ataupun sebaliknya. Hasil muhasabah yang jujur ini akan mendorong diri kita untuk bertaubat dan ‘kembali’ kepada Allah SWT dengan memohon keampunan dari segala dosa dan maksiat yang telah dilakukan. Mujahadah pula adalah proses yang mengukuhkan taubat ini umpama membaluti ‘luka’ dari dijangkitan semula dan membantu proses penyembuhan. Mujahadah yang bersungguh-sungguh akan membawa kita kepada pertambahan ilmu dan taufiq dari Allah SWT, yang akan membawa kepada muhasabah yang lebih teliti dan taubat yang lebih mendalam, yang akan menjadikan mujahadah lebih bertenaga. Wallahu a’lam.
